Saturday 30 April 2011

bacalah.....


Wanita hidap Parkinson pangku mayat anak 2 hari

Oleh Johan Afandi dan Zulhazri Abu Bakar

JOHOR BAHRU: Seorang lelaki yang membujang kerana mahu menjaga ibunya yang menghidap Parkinson, ditemui mati di pangkuan wanita itu di kediaman mereka di Flet Kos Sederhana Rendah Fasa 13, Jalan Padi Malinja, Bandar Baru Uda di sini, semalam.

Abu Bakar Hamzah Mohamad, 41, dikenali sebagai Halim di kalangan jirannya dan bekerja kilang di kawasan perindustrian Ungku Mohsin di sini, dipercayai mati di pangkuan ibunya, Aishah Sulaiman, 65, sejak dua hari lalu.

Kematian Abu Bakar hanya disedari oleh jiran dua beranak itu pagi semalam apabila menjenguk mereka dan mendapati, Aishah, yang tidak dapat bercakap kerana penyakitnya, dilihat memicit Abu Bakar, tanpa menyedari anaknya itu sudah mati.

Image
AISHAH terpaksa dipapah untuk
menghadiri pengebumian anak
tunggalnya, petang semalam.
– Gambar oleh Zulhazri
Abu Bakar

Aishah, yang kematian suami sejak lima tahun lalu bergantung penuh kepada Abu Bakar untuk menyuap nasi dan memandikannya setiap hari kerana penyakit Parkinson dihidapinya.

Pengusaha kedai runcit di flet itu, Saim Arif, 48, berkata pagi Selasa lalu, dia ternampak Halim menunjukkan reaksi seperti sedang menanggung kesakitan, sebelum terjatuh berhampiran motosikalnya.

"Halim biasa keluar kira-kira jam 6 pagi dan pagi itu dahinya berdarah selepas jatuh dekat motosikalnya. Penduduk yang nampak berkata, sebelum itu Halim duduk di meja di bawah blok seperti orang sakit.

"Saya tanya dia sama ada nak dibawa ke klinik tapi dia tak mahu. Jadi saya cuma tolong dia balik ke rumah," katanya.

Saim berkata, selepas dua hari tidak melihat Halim keluar bekerja, beliau menyuruh seorang penduduk flet menjenguk rumah dua beranak itu.

“Ketika dia tiba di rumahnya, pintu tidak berkunci dan apabila diselak, Halim yang tertiarap di ruang tamu sedang dipicit oleh ibunya. Apabila diperiksa, Halim sudah tidak bernyawa, lantas dia menghubungi polis,” katanya.

Seorang lagi jiran, Kalsom Mohd Ali, 52, yang terkejut dengan kematian itu berkata, hubungan dua beranak itu memang rapat, malah Halim tidak pernah lekang bertanyakan makan minum ibunya.

"Mereka duduk dua beranak saja di rumah sebelah dan mak cik tak sangka Halim dah meninggal dunia. Sebab itulah dah tak nampak dia. Tengah malam Selasa lalu, ada dengar bunyi batuk Halim kuat, lepas itu bunyi orang jatuh tapi tak adalah kami sangka yang bukan-bukan," katanya.

Kalsom yang menyedari kematian itu berikutan kehadiran anggota polis kira-kira jam 8 pagi semalam berkata, Halim mesra dengan penduduk di rumah pangsa itu dan ibunya bergantung hidup padanya.

"Makan minum ibu, Halim suapkan. Dia tidak beristeri dan selalulah kami dengar ibunya ditanya “mak nak makan”, “mak nak pergi bilik air” ketika menjaga maknya itu.

“Apabila ada yang bertanya kenapa tidak berkahwin, Halim menjawab takut nanti isterinya tidak dapat menerima keadaan kesihatan ibunya yang memerlukan perhatian penuh,” kata Kalsom.

Jenazah Halim dibawa ke rumah mayat Hospital Sultanah Aminah (HSA) oleh anggota polis Tampoi untuk dibedah siasat sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Alif dekat sini, petang semalam.

Ketua Balai Polis Tampoi, Cif Inspektor Mazlan Osman, berkata pihaknya menolak sebarang unsur jenayah sebagai punca kematian Halim.

2 comments:

ummi_ziz said...

ya Allah, sedihnya aku baca kisah bnr ni. T_T

Kasih ibu smpi ke syurga. Smg arwah mjd slh sorg phuni syurga.

mama ct said...

Amin...aku pun sedih weh...best kan makcik tu...dapat anak soleh..Amin...